Friday, January 27, 2012

tunaikan niat

assalamualaikum...

Alhamdulillah niat aku untuk buat pulut kuning sempena khatam Al-Quran semasa buat umrah bulan 3 tahun lepas telah terlaksana dan niat untuk buat kenduri doa selamat untuk arwah anakanda nur hawa juga telah terlaksana...dah pasang niat kalau usia kandungan dah mencapai 7 bulan...kebetulan mengikut perkiraan masa cuti tahun baru cina tahun ni usia kandungan hampir 7 bulan...jadi elok benar buat kenduri doa selamat masa balik bercuti ke kampung sempena cuti tahun baru cina...walaupun arwah anakanda dah tiada tapi untuk lepaskan niat yang dah dibuat...suami kesayangan dan ma kata elok kalau tunaikan juga...semoga selepas ini ada rezeki kami untuk menimang cahayamata...AMIN (^_^)

entry kali ni aku tak banyak nak tulis sangat...cuma nak isi masa terluang...baru sampai dari kampung pukul 1 pagi tadi...ma ikut sekali datang ke sini...esok ada majlis sambut menantu sepupu ma di lembah keramat...jadi ma ikut kitaorang datang ke sini...mungkin akan ke rumah ayah chik sekali dan melawat anak kak cupi di hospital ampang...huraiyah dah 6 hari masuk hospital...hari ni baru aku dapat tahu...itupun melalui fb...harap ayah chik sentiasa sihat dan huraiyah pulak cepat sembuh...

minggu depan Alhamdulillah anniversary pernikahan kami yang pertama...tak tau nak sambut macamana...hehehehe nanti la tengok nak buat apa...takde perancangan lagi...i want to make it simple but special and memorable...hmmmm semoga perkahwinan kami kekal bahagia dan diberkati sehingga ke syurga...dimurahkan rezeki yang halal dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta sempurna sifatnya...Insya Allah (^_^)

need to log off now...till next time...

wassalam

Thursday, January 19, 2012

arwah anakanda nur hawa - 25.12.2011

assalamualaikum...

tanggal 25.12.2011...tepat jam 2.02 petang bertempat di bilik no.7 bilik bersalin hospital selayang...arwah anakanda kesayangan kami dilahirkan dan sejam selepas dilahirkan anakanda pergi selamanya meninggalkan kami di pangkuanku...sedih dan perit tapi itulah qada' dan qadar yang Allah telah tetapkan terhadap kami...kami merancang dan Allah yang menentukan...segala kejadian buruk dan baik ada hikmah disebaliknya dan perancangan dari Allah adalah yang terbaik untuk kita...hanya masa dan keadaan yang akan mengubat kesedihan ini...kami redha...sesungguhnya kami redha...sejak awal kami telah diberitahu kemungkinan yang bakal kami hadapi...kami menyimpan harapan di samping bersedia untuk yang sebaliknya...

saat yang kami nantikan untuk menyambut kelahiran anak pertama kami berlaku 4 bulan lebih awal...pada 19.12.2011 aku mengalami pendarahan...berharap agar ini merupakan keadaan biasa...sebab aku tidak merasakan apa-apa kesakitan...selepas berbincang dengan suami tersayang...kami memutuskan untuk ke klinik untuk memastikan kandungan aku tiada apa-apa...klinik yang kami ingin pergi telah tutup dan kami membuat keputusan untuk ke bahagian kecemasan hospital selayang...kemungkinan terpaksa menunggu agak lama di bahagian kecemasan membuatkan kami singgah makan dulu sebab kami masih belum makan malam...setelah makan kami terus ke hospital...aku masih tidak merasa apa-apa kesakitan...kami tiba di hospital kira-kira jam 9 malam...setelah mendaftar...tidak sampai 5 minit kami telah dipanggil masuk ke bilik pemeriksaan...kes aku dirujuk ke bahagian wad bersalin kerana usia kandungan telah melebihi 20 minggu...aku diminta ke bilik pemeriksaan dan suami diminta menunggu di luar...setelah diperiksa aku dimaklumkan bahawa keadaan anak sihat tetapi jalan aku telah terbuka sebanyak 2 cm...kemungkinan aku bersalin adalah tinggi...terasa luluh hati bila mendengar...aku gosok perut dan berbisik pada anak agar sabar menunggu sehingga tiba saat yang sesuai...terasa kosong hati ini ketika menunggu di bilik pemeriksaan untuk di bawa ke wad...suami tiada di sisi untuk berkongsi rasa...ketua bahagian bersalin datang menemui aku dan menyatakan bahawa anak aku terlalu kecil dan terlalu pra-matang untuk dilahirkan pada usia 23 minggu dan dengan berat baru mencecah 600 gram...sekiranya dilahirkan...pihak hospital akan lihat samada anak aku boleh diselamatkan atau tidak...aku hanya mendengar dengan perasaan yang kosong...

setelah hampir sejam lebih menunggu aku dibawa ke wad...apabila keluar dari bilik pemeriksaan...aku memandang suami...terlihat perasaan sayu di matanya...aku tahu dia tidak mahu menunjukkan perasaan sebenar kepada aku...aku akan tabah sekiranya aku lihat dia tabah...aku dimasukkan ke wad 5b di katil 13...wad bersalin...aku lihat ramai ibu mengandung yang sedang sarat menanti masa untuk melahirkan dan ada yang sudah bersalin...suara bayi menangis membuatkan aku sayu...aku dinasihatkan supaya tidak banyak bergerak untuk memastikan aku boleh bertahan lama bagi mengelakkan air ketuban aku pecah...suami banyak memberi kekuatan untuk kami sama-sama menghadapi apa yang bakal berlaku...

pendarahan aku telah berhenti tetapi aku masih berhati-hati dan sentiasa berdoa semoga semuanya dipermudahkan...aku sentiasa bercakap dengan anak di dalam perut...keadaan anak sentiasa dipantau...denyutan jantung adalah normal dan aku dapat merasakan pergerakan anak yang masih aktif di dalam perutku...walau sebaik mana aku mencuba...takdir telah tertulis...pada malam 23.12.2011 tepat jam 11.30 malam air ketuban aku pecah...aku menelefon suami dan dia tiba beberapa minit kemudian apabila aku hendak di hantar untuk membuat imbasan...tiada sesiapa yang dibenarkan untuk menunggu di wad bersalin...selepas membuat imbasan...doktor memberitahu bahawa anak kami masih selamat dan menasihatkan aku supaya terus berehat dan bertahan selama mungkin agar tidak bersalin...aku telah diberikan ubat untuk menguatkan dan mematangkan paru-paru anak...2 suntikan yang amat menyakitkan tetapi aku tabahkan juga demi anak kami..pergerakan aku semakin dihadkan supaya dapat menjaga agar tidak bersalin awal...keadaan anak aku juga sentiasa dipantau...

pada awal pagi 25.12.2011 aku merasa sakit perut dan menyangka aku sembelit...aku dinasihatkan supaya tidak meneran ketika membuang air besar bagi mengelakkan anak dari cepat keluar...aku meminta suami bawakan pisang dengan harapan memudahkan proses membuang air besar...aku cuba meminta ubat sembelit daripada doktor yang datang memeriksa aku pada pagi itu tapi doktor tak menggalakkannya...setelah makan pisang aku membuang air besar tetapi perut masih terasa sakit...pada jam 10.45 pagi aku terasa kesakitan semakin kerap...aku mula membuat kiraan...sakit datang tepat setiap 5 minit...pukul 11 pagi aku menelefon agar suami aku masuk...dia sedang menunggu di luar wad...pada masa itu kesakitan aku makin kerap...setiap 3 minit...suami aku masuk bersama ibu mertua...ma memicit2 kakiku...suamiku memicit2 tanganku...dan aku minta memanggil jururawat bertugas...setelah diperiksa aku disahkan akan bersalin...masa itu perasaan aku bercampur2...takut, teruja dan sedih seiringan...sebelum ini aku dah berbincang dengan suami...sekiranya boleh aku nak dia ada bersama semasa aku bersalin...aku tidak memaksa sebab aku risau sekiranya dia tak dapat bertahan dan pitam tapi aku cuma minta dia mencuba...Alhamdulillah sepanjang proses bersalin dia ada di samping aku...memberi sepenuh sokongan dan kasih sayang...TERIMA KASIH SAYANG... (^_^)

betullah kata ibu-ibu...sakit hendak bersalin Allah saja yang tahu...tanpa apa-apa persediaan aku telah masuk ke bilik bersalin...cara untuk menahan sakit pun aku tidak tahu...setelah bersalin aku telah melihat sebuah rancangan tentang ibu-ibu mengandung...sebenarnya terdapat cara pernafasan yang betul untuk kita mengurangkan rasa sakit ketika hendak bersalin...Insya Allah selepas ini sekiranya ada rezeki kami untuk mendapat zuriat...AMIN (^_^) kami akan ke kelas untuk ibu-ibu mengandung pada awal-awal kehamilan lagi...

suami sentiasa mengenggam erat tangan aku sepanjang proses bersalin...aku memandang wajah suami...berpeluh-peluh dia...aku risau dia tidak dapat bertahan tetapi dia tabah dan setia menggenggam tanganku...aku berpeluh dan basah seperti orang sedang mandi sebab menahan sakit...setiap kali sakit datang genggaman tangan aku pada suami makin kuat...sampai berdiri dia setiap kali aku sakit...penat yang teramat aku rasakan setiap kali lepas menahan sakit...bila tiba saat anak kami dilahirkan...aku menanti bunyi tangisan namun tidak kedengaran dan suami membisikkan di telingaku saat itu..."anak kita kecil sangat"...dan aku pasrah...jururawat yang menyambut kelahiran meletakkan anak kami di dadaku dan aku dapat lihat dia seorang bayi perempuan dan betapa cantiknya dia...Subhanallah...anak yang ku kandung selama 5 bulan dapat ku lihat di depan mataku...matanya tidak terbuka dan dia tidak menangis...dia dibawa pergi untuk diperiksa...aku sudah terasa rindu padanya...

setelah hampir setengah jam...seorang doktor masuk dan menerangkan kepadaku bahawa anak kami tidak dapat diselamatkan...terlalu pra-matang...aku minta untuk memegang dia sehingga dia tiada...ketika dia di bawa masuk...dia dibaluti dengan kain lampin putih dan dia masih bernafas...jururawat meletakkan dia di dada ku...dalam keadaan yang masih baring aku cuma dapat melihat dia dari tepi...ku pegang dengan berhati-hati...tidak mahu menyakiti anakku...terlalu kecil tetapi sempurna...aku masih dapat melihat dia bernafas tetapi terlalu jarang-jarang...aku terlelap seketika dan ketika suamiku masuk aku masih memegang anak kami dalam keadaan asal...aku minta suami angkatkan aku supaya berada dalam keadaan duduk...aku cium dahinya...aku buka balutan kainnya...tangan dan kaki yang amat halus...jari jemari yang telah sempurna terbentuk...rambut yang lebat...alis mata yang terbentuk sempurna...mata yang masih tidak terbuka...hidung dan mulut yang comel...cuma dia telah tiada...aku minta suami mencium dia...kami sama-sama namakan dia nur hawa...kesakitan bersalin tidak aku rasa setelah dapat melihat wajahnya...aku redha...Allah lebih sayangkan nur hawa...semoga anak ibu dan ayah damai di sana...nantikan kami ye sayang...ibu dan ayah sayang nur hawa...

arwah anakanda nur hawa selamat dikebumikan pada hari yang sama selepas isya'...terima kasih kepada semua yang banyak membantu...begitu ramai yang datang melawat ketika di hospital dan juga ketika majlis pengebumian dan ketika berpantang...doa dan sokongan kalian amat bermakna buat kami...terima kasih kepada ma sebab menjaga ina dengan baik sepanjang tempoh berpantang dan juga menjaga ngoh jugak...doakan semoga kami akan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta sempurna sifatnya selepas ini...AMIN

Ya Allah...kau tabahkanlah hati kami dalam menghadapi ujian-Mu ini...kami hamba-Mu yang lemah...berikan kami kekuatan dan kesihatan serta dimurahkan rezeki yang halal agar dapat meneruskan kehidupan kami dan beribadat kepada-Mu...walau sekuat mana ujian-Mu...kami tahu Kau tidak akan menurunkannya sekiranya kami tidak dapat menghadapinya...semoga ujian-Mu membuatkan kami lebih kuat dan tabah serta merasakan lebih kesyukuran ke atas apa yang telah dan akan Kau kurniakan kepada kami...AMIN YA RAB ALAMIN